Iklan

Isnin, 11 Mac 2013

Biografi Ketokohan Imam Nawawi

Salam sejahtera...

     Kali ini aku ingin membuat nota mengenai Imam Nawawi dan rujukan yang aku gunakan adalah dari Buku Hadis 40 Imam Nawawi.
   
     Ibnu al-Athar berkata :
"Guru kami an-Nawawi selalu bermujahadah, warak, muraqabah, dan mensucikan jiwanya. Beliau juga adalah seorang hafiz dalam bidang hadis, perawi hadis, dan nilai sahih dan dhaifnya. Disamping itu, beliau juga seorang imam dalam mazhab fiqh."

     Ketokohannya itu seiring dengan kewarakan dan ketekunannya dalam beramal. Menurut Ibnu al-Athar lagi :
"Guru kami an-Nawawi menceritakan kepadaku bahawa beliau tidak pernah sama sekali mensiakan waktu, tidak kiralah waktu malam mahupun siang. Bahkan, dijalanan juga beliau terus menelaah dan menghafal."

     Nama penuh Imam an-Nawawi ialah Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syaraf bin Murri bin Hassan bin Hussin bin Jumu'ah bin Hizam al-Hizami an-Nawawi asy-Syafi'i. Beliau dilahirkan di Nawa, iaitu sebuah wilayah di Damsyik, Syam pada bulan Muharam tahun 631 Hijrah. Beliau berkebolehan menghafaz al-Quran sejak kecil lagi. Pada tahun 649 Hijrah iaitu ketika berusia 19 tahun, beliau pergi ke Kota Damsyik bagi mendalami ilmu di Madrasah al-Rawahiyyah.

     Banyak kitab yang dikarang oleh beliau. Antaranya ialah Matan al-Arba'in (Hadis 40), Riyadhus Solihin, Syarah Sahih Muslim, al-Azkar, al-Majmu' dan pelbagai tajuk lagi. Sepanjang hayatnya, beliau sentiasa istiqamah menjalankan kewajipan menyebarkan ilmu dengan mengajar dan mengarang kitab disamping sentiasa beribadah dalam kehidupan yang serba kekurangan.

     Beliau pernah diusir keluar dari negeri Syam oleh Sultan al-Malik az-Zahir yang tidak bersetuju dengan fatwa yanng dikeluarkannya. Beliau bukan ulama yang mencari kebenaran untuk dirinya sahaja, bahkan untuk kehidupan masyarakat ketika itu. Beliau juga menjadi ulama besar dalam fiqah mazhab Syafi'i dan turut mahir dalam bidang hadis dan bahasa. Ada pendapat yang mengatakan bahawa Imam an-Nawawi memiliki 3 darjat yang mana setiap satu darjatnya sangat sukar dicapai oleh orang lain. Darjat yang dimaksudkan ialah ilmu, zuhud dan berpesan ke arah kebaikan dan menolak kemungkaran.

     Beliau kembali ke rahmatullah pada 24 Rejab 679 Hijrah dalam usia yang cukup muda iaitu pada usia 45 tahun dan dimakamkan di Nawa. Dalam lingkungan usia yang agak singkat itu, beliau mengabdikan diri menekuni ilmu dan berkunjung ke sana ke mari untuk mencari ilmu hingga tidak berkesempatan untuk memikirkan soal berumahtangga. Beliau meninggalkan khazanah berharga yang tiada tolok bandingnya untuk umat Islam. Beliau berjaya menyumbangkan tenaga fikiran dan ilmunya kepada agama dan umat Islam seluruhnya.

     Semoga Allah S.W.T. memberkati usaha yang dilakukan oleh Imam an-Nawawi dan memberikan ganjaran yang cukup tinggi buat beliau. Semoga Allah S.W.T. membangkitkan tokoh-tokoh seperti beliau dalam kalangan umat Nabi Muhammad S.A.W. zaman ini yang dapat memperjuangkan dan mempromosikan sunnah dalam hidup masyarakat. Insya-Allah....

Sekian, nota ringkas mengenai tokoh ulama tersohor Imam an-Nawawi....







Tiada ulasan:

Catat Ulasan