Nuffnang Ads

Khamis, 19 Januari 2012

Kanser Usus


JIKA di kawasan perumahan anda ada tertampal poster yang mengajak menjalani saringan kanser usus secara percuma, janganlah memandangnya sebelah mata. Ia adalah peluang baik untuk membawa ibu bapa yang sudah berumur menjalani pemeriksaan awal tanpa perlu bersusah payah ke hospital.

Meskipun kanser usus lebih kerap berlaku pada warga senior (berumur 50 tahun ke atas) kaum Cina, tidak bermakna kita yang berbangsa lain terlepas daripada kemungkinan menghidap penyakit ini kerana serangan kanser tidak mengenal batasan keturunan dan kedudukan.

Anda tidak perlu risau menyertai program saringan kanser usus atau kolon anjuran Persatuan Advokasi Kanser Malaysia, Empowered! kerana ia dikendalikan doktor pakar dan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan perubatan. Malah anda juga tidak perlu beratur panjang di hospital kerana kumpulan sukarelawan ini yang akan datang ke kawasan perumahan terpilih untuk memberikan perkhidmatan mereka secara percuma.

Menurut Presiden dan Pengasas Empowered!, Dr Christina Ng, saringan ini diadakan khas untuk golongan berpendapatan rendah supaya jika ada kanser bahaya ini dapat dikesan awal. Semua orang tahu rawatan untuk kanser bukan murah, justeru lebih baik jika ia dapat dikesan awal kerana rawatannya akan lebih mudah (dan pastinya agak murah).

Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 610,000 orang meninggal dunia akibat kanser usus di seluruh dunia pada 2008. Di negara kita, menurut Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, kanser usus atau kolon (juga kadangkala dipanggil kolorektal) adalah kanser kedua paling lazim menyebabkan kematian dengan anggaran 3,500 kes baru setahun.


Di kalangan wanita, kanser usus berada di tangga ketiga selepas kanser payudara dan serviks. Di kalangan lelaki, inilah kanser paling kerap berlaku. Lebih membimbangkan, insiden kanser usus pada lelaki dan wanita semakin meningkat di kalangan individu berumur 50 tahun ke atas.

Kanser usus adalah istilah merujuk kepada kanser yang bermula dalam usus (180 sentimeter atau enam kaki pertama usus besar). Di sinilah makanan kita bertukar menjadi najis dan ia akan digerakkan ke arah rektum. Rektum ialah bahagian 15 sentimeter atau enam inci terakhir usus besar yang berakhir dengan dubur.

Usus dan rektum adalah sebahagian daripada sistem pencernaan yang bertugas mengasingkan nutrien daripada makanan dan menyimpan bahan sisa sehingga ia dikeluarkan daripada badan sebagai najis.

Punca sebenar kanser usus masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi ia dikatakan ada kaitan dengan tabiat pemakanan dan gaya hidup seseorang. Kanser usus ialah pertumbuhan sel tidak normal dan tidak terkawal dalam usus besar atau rektum sel malignan yang hidup di dinding usus (atau rektum) yang bermula dengan pembentukan polip (ketulan kecil), membesar menjadi tumor dan akhirnya berubah kepada kanser. Proses ini mengambil masa bertahun-tahun dan tidak menunjukkan gejala jelas sehinggalah ia semakin teruk.

Tanda-tanda

Kanser usus boleh terjadi tanpa gejala yang jelas tetapi ada beberapa tanda yang perlu diberi perhatian iaitu apabila anda mengalami masalah untuk buang air besar. Peringkat awal kanser usus mungkin tidak menunjukkan gejala, tetapi apabila polip mula membesar menjadi tumor, ia boleh menyekat laluan usus dan mungkin menyebabkan pendarahan. Antara gejala kanser usus ialah:

- Kerap buang air tetapi tetap rasa tidak puas.

- Alami masalah sembelit dan cirit-birit berselang-seli.

- Najis bercampur dengan darah.

- Najis berwarna kehitaman (akibat kehadiran darah). Warna najis menunjukkan lokasi pendarahan dalam usus. Jika darah itu merah dan terang bermakna pendarahan berlaku pada bahagian hujung usus yang berdekatan dengan rektum. Najis yang kehitaman menunjukkan pendarahan berlaku pada pertengahan atau pangkal usus (dekat dengan apendiks).

- Perubahan pada bentuk najis (sama ada menjadi semakin kecil atau nipis).

- Perut rasa memulas.

- Terasa asyik hendak buang air besar (walaupun sebenarnya tidak perlu).

- Perut rasa tidak selesa (sama ada senak, sakit atau kembung).

- Muntah.

- Hilang selera makan.

- Berat badan turun tanpa sebab.

- Kerap penat.

- Pada keadaan serius, pesakit mungkin tidak boleh buang air.


Faktor risiko

Ada banyak faktor risiko boleh mendedahkan seseorang kepada penyakit ini seperti:

1. Umur. Golongan berumur 50 tahun ke atas lebih berisiko dan lebih 90 peratus kes kanser usus di negara kita membabitkan warga emas.

2. Kehadiran polip dalam usus. Kebanyakan kanser usus bermula dengan polip. Ketumbuhan kecil yang bersifat bukan kanser ini tumbuh pada dinding usus besar. Sesetengah polip ini boleh berubah kepada kanser. Pengesanan awal membolehkan polip ini dibuang dan boleh mencegah pertumbuhan sel kanser.

3. Sejarah keluarga. Individu yang mempunyai ahli keluarga mendapat kanser usus lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini berbanding orang lain.

4. Sejarah diri yang pernah menghidap kanser. Wanita yang pernah menghidap kanser lain seperti payudara, ovari atau uterus berisiko mendapat kanser usus.

5 Pemakanan. Pemakanan yang kaya lemak, banyak daging dan terlalu kurang serat adalah faktor utama yang meningkatkan risiko diserang kanser usus.

6. Rokok. Selain menjadi penyebab kepada banyak jenis kanser lain, asap rokok boleh meningkatkan risiko terhadap pertumbuhan polip. Kajian menunjukkan perokok mempunyai risiko 30 hingga 40 peratus menghidap kanser usus berbanding bukan perokok.

7. Obesiti. Individu obes berisiko tinggi mendapat kanser usus.

8. Alkohol. Ada penyelidik mengatakan terlalu banyak minuman keras boleh meningkatkan risiko kanser usus.

9. Kurang bersenam.



Saringan dan pengesanan

Diagnosis kanser boleh datang secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran dan oleh kerana ia biasanya dianggap ‘pembawa maut’, ramai pesakit mengalami gangguan emosi tatkala disahkan menghidap penyakit ini.

Kanser adalah sejenis penyakit yang boleh melemahkan seseorang dari segi fizikal dan emosi. Kebanyakan pesakit menerima keputusan diagnosis kanser dengan perasaan yang sedih, terkejut, hampa dan bimbang. Ada juga yang berasa marah dan sangat kecewa kerana tidak dapat menerima hakikat mereka menghidap kanser.

Sebenarnya pesakit kanser usus ada peluang sembuh yang tinggi, iaitu antara 85 hingga 95 peratus, jika penyakit dikesan awal (pada peringkat pertama) dan peluang ini menurun kepada 60 hingga 80 peratus andai menerima rawatan ketika kanser di peringkat kedua.

Namun dalam kebanyakan kes, pesakit lambat datang mendapatkan rawatan. Jawatankuasa Gabungan Amerika Untuk Pengenalan Peringkat Kanser Usus melaporkan, kebanyakan pesakit (30 hingga 40 peratus) berjumpa doktor ketika kanser mereka pada peringkat ketiga dan 20 hingga 25 peratus lagi apabila penyakit di tahap serius (peringkat keempat).

Kelewatan mendapatkan rawatan menjadi punca peningkatan jumlah kematian pesakit kanser usus di kalangan masyarakat Asia, termasuk di negara kita. Jika dilihat peluang keterusan hidup dalam tempoh lima tahun, peratusannya turun mendadak daripada 30 hingga 60 peratus (peringkat ketiga) kepada kurang lima peratus bagi peringkat keempat.

Sebabnya sebaik disahkan menghidap kanser, usah bertangguh mendapatkan rawatan di hospital. Lebih cepat anda mendapat rawatan, peluang sembuh lebih tinggi dan bagi kes serius, rawatan dapat memanjangkan hayat anda antara 26 hingga 29 bulan.

Mungkin ada yang berkata, perlu apa bersusah payah mendapatkan rawatan jika hanya dapat memanjangkan jangka hayat kepada beberapa bulan. Itu pendapat orang sihat tetapi bagi pesakit, ia sangat penting kerana dalam tempoh itu mereka boleh melakukan banyak perkara seperti menghabiskan masa berkualiti dengan orang tersayang.

Menyedari ramai pesakit tidak mampu membayar kos rawatan kanser yang mahal, Dr Christina memulakan program saringan sejak dua tahun lalu dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah.

“Cara paling berkesan untuk mengurangkan risiko kanser usus ialah dengan menjalani ujian saringan terutama bagi individu berumur 50 tahun ke atas dan mempunyai sejarah kanser atau penyakit keradangan usus yang lain. Pengesanan awal dan pembuangan polip sebelum ia bertukar menjadi kanser adalah cara terbaik mencegah penyakit ini.

“Pesakit kanser usus peringkat awal sebenarnya mempunyai peluang sembuh yang tinggi jika ia dikesan awal dan diberikan rawatan sewajarnya. Apa yang penting ialah datang ke hospital menjalani ujian saringan atau menyertai program Empowered! bagi yang berkelayakan,” kata perunding onkologi itu.

Apa yang pasukan sukarelawan Empowered! lakukan? Mereka akan mengagihkan risalah ke setiap rumah untuk memberitahu mengenai kanser usus. Selain itu di kawasan terpilih, sukarelawan ini akan menampal poster dan kain rentang mengajak penduduk menyertai program saringan berkenaan.

Sasaran Empowered! ialah golongan berpendapatan rendah yang kurang pendedahan dan pengetahuan mengenai kanser usus, serta tidak mempunyai masa menjalani saringan kesihatan mahu pun menyertai ceramah kesihatan. Ini kerana setiap kes kanser usus menunjukkan peningkatan dengan purata 3,500 kes setahun dan program ini menjadi lebih penting kerana Malaysia kini menuju ke arah masyarakat berumur-yang bermakna setiap orang berisiko mendapat kanser usus.

“Program ini sangat berkesan dan bermanfaat. Tahun lalu, kami mendapat 600 penyertaan, lebih tinggi berbanding tahun pertama program ini diperkenalkan. Setiap peserta akan diberikan penerangan mengenai kanser usus dan kit untuk mengambil sampel najis masing-masing. Peserta akan diajar bagaimana cara mengambil sampel najis mereka dan kit ini akan dipungut oleh sukarelawan yang datang ke rumah peserta sebelum dihantar ke makmal untuk dianalisis.

“Empowered! bukan saja menyediakan buku panduan malah ada perkhidmatan bas untuk membawa penduduk mendengar ceramah dan penerangan mengenai kanser usus. Saya rasa susah payah sukarelawan yang bersengkang mata melaksanakan program kemasyarakatan ini termasuk bermesyuarat, mengorbankan cuti hujung minggu dan mengetuk 20,000 pintu rumah penduduk adalah sangat berbaloi, apatah lagi apabila melihat penduduk mula sedar dan faham mengenai penyakit,” katanya. Penduduk yang menyertai program ini bukan saja mendapat saringan awal kanser usus percuma tetapi turut diberikan sekampit beras!

Namun cabaran sebenar dihadapi 240 sukarelawan yang terdiri daripada pakar pemakanan, pakar fisioterapi, kaunselor, pelajar perubatan dan rakan yang menemani peserta ke hospital ialah apabila peserta disahkan menghidap kanser. Dalam keadaan ini mereka (peserta) sangat memerlukan sokongan daripada keluarga, rakan dan anggota kesihatan supaya mereka tabah serta segera menjalani rawatan. Inilah sebabnya ada sukarelawan yang dikhususkan bertugas menemani pesakit ke hospital.

Biasanya apabila ada acara kesihatan, rata-rata pesertanya adalah wanita tetapi berbeza dengan Empowered! kerana 60 peratus peserta terdiri daripada lelaki. Ini dianggap satu perkembangan yang memberangsangkan kerana semakin ramai ketua keluarga mulai sedar kepentingan menjaga kesihatan. Bahkan pasukan sukarelawan menggalakkan seisi keluarga untuk menyertai program yang diadakan di tempat mereka.

Berdasarkan pemeriksaan makmal untuk saringan tahun pertama didapati dua peratus peserta mempunyai keputusan tidak normal iaitu najis mereka mengandungi darah. Peserta ini kemudiannya dihubungi untuk menjalani ujian susulan bagi memastikan sama ada kandungan darah dalam najis mereka disebabkan kanser atau masalah kesihatan lain dan diberikan rawatan sewajarnya.

Pakar kesihatan menganggarkan 70 peratus kes kanser usus boleh dicegah melalui perubahan tabiat pemakanan dan bersenam. Malah, melakukan aktiviti yang kurang menggunakan tenaga selama dua jam seperti membersihkan rumah juga didapati boleh memberi banyak perubahan kepada kesihatan seseorang.

Melalui program yang sama, penduduk diajar cara untuk mengurangkan risiko mendapat kanser iaitu dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti:

- Mengambil pemakanan seimbang

- Mengekalkan berat badan normal

- Meningkatkan aktiviti fizikal

- Melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.








1 ulasan:

  1. Asa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, juga jika anda ingin membeli rumah di atas ansuran bulanan kita juga boleh menjual rumah untuk anda. supaya Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com, Mungkin ada banyak sebab mengapa anda perlu akses kepada beberapa wang tunai tambahan - daripada yang tidak dijangka pembaikan kereta atau rumah untuk membayar perkahwinan anda atau cuti khas. Tetapi apa sahaja yang anda memerlukannya, apabila anda meminjam antara $ 5,000 USD untuk 100,000 USD di atas.

    pengkhususan Syarikat.
    1) Kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%.
    2) Kami juga boleh membeli sebuah rumah pilihan anda dalam mana-mana lokasi pilihan anda.

    BalasPadam